Wednesday, 30 November 2016

Tokoh Ulama Mujtahidin: Imam Maliki

KATA PENGANTAR

Bersyukur dan segala puji hanya milik Allah S.W.T. Selawat dan salam selalu diberikan kepada Rasullullah s.a.w. Berkat limpahan dan rahmat-Nya penyusun mampu menyelesaikan tugasan makalah berjudul Tokoh Ulama’ Mujtahidin Imam Maliki ini.
Dalam penyusunan tugasan ini, tidak sedikit hambatan yang penulis hadapi. Namun penulis menyedari bahawa kelancaran dalam penyusunan tugasan ini tidak lain berkat bantuan, dorongan, dan bimbingan Ustazah dan sahabat-sahabat yang penulis hadapi dapat diatasi Alhamdulillah.
Makalah ini mengandungi perihal tentang latarbelakang Imam Maliki, keperibadian, pendidikan serta keistimewaan dan pencapaian beliau semasa hayatnya.  Akhir sekali penulis memasukkan nasihat-nasihat dari Imam Maliki sebagai seorang insan.
Tugasan makalah ini disusun agar pembaca dapat memperluas ilmu tentang kaitan tokoh ulama’ Mujtahidin terutama Imam Maliki yang kami sajikan berdasarkan pengamatan dari berbagai sumber informasi, rujukan, dan berita. Tugasan makalah ini di susun oleh penyusun dengan berbagai rintangan. Baik itu yang datang dari diri penyusun maupun yang datang dari luaran. Namun dengan penuh kesabaran dan terutama pertolongan dari Allah s.w.t. akhirnya tugasan makalah ini dapat diselesaikan.
Sebagai seorang insan yang lemah, penulis yakin bahawa makalah ini tidak terlepas dari kelemahan-kelemahan yang boleh diperbaiki. Oleh demikian harapan penulis kepada sekelian pembaca, sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan dari mana-mana aspek sudah sekiranya perbetulkan.
Semoga tugasan makalah ini dapat memberikan wawasan yang lebih luas dan menjadi sumbangan pemikiran kepada pembaca khususnya para mahasiswa Pusat Pendidikan Jamiyah Singapura dan Kolej Universiti Islam Melaka.



Objektif: Tokoh Ulama’ Mujtahidin
Gerakan ijtihad berlaku secara aktif oleh ulama mujtahid seperti Imam Maliki, Imam Abu Hanifah serta Imam Syafie pada abad pertama, kedua dan ketiga hijrah. Namun begitu, gerakan tersebut menjadi malap dan berhenti pada abad keempat hijrah, apabila pemerintah dan ulama lebih menekankan kepada gerakan taklid pula lantaran menilai keadaan semasa supaya tidak timbul perselisihan dan pertikaian antara masyarakat dan orang awam yang jahil khususnya.
Pada abad keempat gerakan ijtihad menjadi malap dan terhenti, namun ada sesetengah ulama masih bersikap terbuka dan menolak taklid, khasnya dalam perkara furu’ dan tidak berpegang dengan satu mazhab sahaja.
Sesetengah ulama tidak mahu terikat dengan amalan taklid, kerana pada umumnya dasar taklid dalam perundangan ada baik dan ada buruknya. Antara bahayanya ialah:
a) Sifat fanatik kepada sesuatu mazhab tertentu menyebabkan mereka mengecam dan memburuk-burukkan mazhab lain.
b) Mematikan semangat mendalami ilmu serta tiada perkembangan pesat dalam mencari ilmu.
c) Dalam sesetengah perkara furu’, ahli masyarakat dan politik menjadikannya sebagai alat politik dan kepentingan mereka.
Menilai keburukan dan keadaan yang tidak baik tersebut, lahirlah ulama’ dan pemikir yang meneliti kembali amalan taklid tersebut untuk dinilai dan dikaji mengikut sumber utama, iaitu al-Quran dan hadis serta membuka ruang kepada perkara yang diharuskan perselisihan pendapat dan perkara yang tidak diharuskan untuk berbuat demikian.
Kesan perkembangan dan kelahiran tokoh baru itu telah memberi ruang yang baik kepada umat Islam, walaupun sesebuah negara telah menetapkan sesebuah aliran mazhab di negara mereka, namun mazhab lain juga dapat diterima dan digunakan dalam pelaksanaan syariat untuk menyelesaikan masalah dan dalam perkara yang dapat member kemaslahatan kepada masyarakat dan umat Islam. Untuk itu, ijtihad merupakan perkara penting di dalam pembinaan hukum. Iaitu dengan cara istinbat hukum daripada al-Quran dan hadis. Ijtihad itu sentiasa berkembang mengikut kesesuaian masa, keadaan dan tempat. Oleh itu, ijtihad merupakan suatu kehujahan dalam pembinaan hukum kerana ijmak juga berdasarkan ijtihad dan ijtihad itu sendiri diharuskan oleh syarak. Dari itu, kami ingin berkongsi tentang salah satu tokoh ulama’Mujtahidin iaitu Imam Maliki.


Latar Belakang Dan Biodata Imam Maliki
Nama sebenar Imam Maliki Rahimahullah  ialah Abu Abdullah Malik bin Anas bin Malik Bin Abi Amir bin Amr Harith bin Gaiman bin Kutail bin Amr Bin Haris Al-Asbahi.. Dilahirkan di Kota Madinah pada 93 Hijrah bersamaan dengan tahun 713 Masihi, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik daripada kerajaan Bani Umaiyah. Wafat pada 11 Rabi’ul Awal tahun 179 H bersamaan 798 M. Ketika berusia 84 tahun niaitu pada zaman pemerintahan khalifah Harun Ar-Rasyid. Beliau dikebumikan di Baqi’. (1)
Beliau meninggalkan tiga orang putera bernama Muhamad, Hammad dan Yahya serta seorang puteri bernam Fatimah. Beliau berasal dari keturunan Arab di Yaman dan datuknya Abu Amir merupakan seorang sahabat Nabi s.a.w. yang mulia dan telah menyertai hampir semua siri peperangan bersama baginda Nabi s.a.w. kecuali perang Badar. Moyangnya bepindah ke Madinah dan menganut Islam pada zaman Rasulullah s.a.w.
Ibu Imam Maliki adalah seorang wanita solehah bernama Aisyah binti Syarik Al-Azdiyah, berasal dari Yaman.  Namun pendapat yang paling popular mengatakan ibunya bernama Siti Aliyah Rahman bin Syuraik Al-Azdiyah.  Imam Maliki dikandungkan ibunya selama dua tahun.  Malah ada yang mengatakan selama tiga tahun. Imam Maliki adalah generasi tabie tabi’en iaitu satu generasi umat Islam yang tidak sempat berjumpa dengan para sahabat Rasulullah s.a.w.  Hanya sempat dengan generasi tabi’en iaitu mereka yang sempat berjumpa dengan sahabat Rasulullah s.a.w.
Imam Maliki dikurniakan umur yang panjang.  Beliau hidup pada zaman sembilan orang khalifah bani Umaiyah dan lima ornag khalifah bani Abbasiyah.  Bermula dari khalifah Al-Walid bin Abdul Malik (95 Hijrah) sampai kezaman khalifah Harun Al-Tasyid (179 Hijrah). (2)
Sepanjang hidupnya, Imam Maliki terkenal dengan kecerdasan akal fikirannya yang tinggi sehinggakan mampu menghafal al-Quran dalam usia yang masih muda. Walau bagaimanapun, beliau yang terkenal dengan keramahan dan bergaul dengan semua lapisan masyarakat merupaka seorang yang pendiam dan hanya berkata-kata apabila perlu dan menganggap benda yang akan diucapkan adalah perkara-perkara yang berfaedah sahaja. Beliau juga seorang hartawan yang tidak lokek membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Sebagai contoh, beliau pernah membantu Imam as-Syafie sehingga berjaya menjadi ulama terkenal. Beliau seorang yang sangat menghormati hadis-hadis Rasulullah sendiri dan diri Nabi s.a.w. sendiri walaupun baginda telah wafat. (3)
Beliau njuga satu-satunya ulama yang mahu berdampingan dengan khalifah dengan tujuan memberi nasihat kepada pemerintah.  Beliau adalah seorang ulama yang warak, taat dan patuh kepada Allah s.w.t. 

  
Sifat-sifat fizikal Imam Maliki
Imam Maliki adalah seorang manusia yang baik rupa parasnya, kacak , bermata biru, tetapi mempunyai sangat hebat dan menakutkan dari sorotan matanya yang tajam.  Diriwayatkan bahawa kehebatan Imam Maliki bukan sahaja menggerunkan budak-budak, tetapi juga orang-orang dewasa yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat termasuk para khalifah dan pembesar-pembesar negeri.
Murid-muridnya pula amat takut kepadanya sehingga mereka menghormati Imam Maliki sampai keperingkat yang amat menakjubkan.  Kehebatan Imam Maliki mengikut riwayat pada ketika Khalifah Abu Ja’far Al-Mansur datang ke rumah Imam Maliki pada suatu malam bersama-sama dengan para pengawalnya, baginda juga membawa beberapa orang putera baginda diantaranya Al-Mahdidan Ja’far.  Sebaik saja putera-putera Khalifah Al-Mansur melihat wajah Imam Maliki, kedua-dua lari bertempiaran kerana takut. (4)

Sifat peribadi, budi pekerti dan pendidikan
Imam Maliki mempunyai budi pekerti tinggi mempunyai kecergasan akal yang tinggi. Sangat memuliakan hadith Nabi s.a.w. zuhud, takwa serta tegas dalam perkara agama tanpa mengira siapa. Beliau juga terkenal dengan sifat mulia, bersopan-santun .  Beliau sentiasa berhati-hati dalam percakapan, pergaulan yang luas antara semua golongan dan peringkat.  Beliau sangat benci kepada perbuatan mencela sesama manusia.
Sejak kecil lagi, minatnya terhadap ilmu sudah disemai dalam jiwanya. Beliau telah menghafal ayat-ayat Al-Quran dan hadis semenjak kecil dan mendapat pendidikan di Kota Madinah daripada beberapa orang ulama terkenal di sana. Guru pertama beliau adalah Abdul Rahman bin Hamzah iaitu seorang ulama besar Madinah.  Beliau mempelajari berbagai jenis ilmu serta menguasainya.  Untuk itu, beliau diakui oleh guru-gurunya dan Imam Syafie pernah berkata : “Imam Maliki merupakan hujjah Allah keatas makhlukNya selepas Tabi’en.  Untuk itu beliau telah didatangi oleh ulama berbagai negara untuk mengambil ilmu daripadanya, seperti Mesir dan Maghribi.
Beliau pernah belajar daripada sembilan ratus guru.  Sebahagian daripadanya tediri daripada ulama tabi’en.  Antaranya Bafi’ bin Abi Nuaim,  Ibnu Syhab Az Zuhri, Hasyim bin Urwa, Yahya bin Saub Al-Anshari, Muhammad bin Munkadir dan Adburrahman bin Hurmuz.
Pada usia muda, beliau dapat menguasai banyak ilmu.  Rasa cintanya kepada ilmu menjadikan hampir seluruh hidupnya diabadikan bagi menuntut ilmu.  Ramai yang menuntut ilmu dengan Imam Maliki termasuk empat khalifah bani Abbasiyah iaitu Abu Jaafar Al-Mansur, Al-Mahdi, Al-Hadi dan Harun Ar-Rasyid.  Malah Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie juga pernah menimba ilmu daripada Imam Maliki. (5)
Kerajinannya mengerjakan ibadat di malam hari pula menunjukkan kewarakan beliau terhadap Allah s.w.t. Prinsip hidup beliau mengenai ilmu ialah orang yang ingin belajar ilmu hendaklah berusaha mencarinya, bukan ilmu yang datang mencarinya. Beliau tidak pernah merungut apabila memberi pendidikan kepada anak-anak muridnya. Beliau akan bersusah-payah memberi kefahaman kepada anak-anak muridnya tentang sesuatu masalah ilmu.
Imam Maliki seorang yang pakar dalam bidan ilmu hadith.  Beliau berhati-hati dalam menyelidik sanad dan perawi hadis bagi memastikan kesahihannya.  Kerana kemasyhuran beliau dalam bidang ilmu hadith, ramai ulama dari luar Madinah datang bagi mendapatkan ilmu daripada beliau. (6)

 Pakaian dan Makanan Kegemaran Imam Maliki
Imam Maliki suka pakaian mahal dan bermutu yang datang dari Aden, Khurasan dan Mesir. Pakaian beliau cantik, kemas dan suka memakai wangi-wangian.  Pendek kata Imam Maliki suka kepada pakaian yang elok, kemas dan baik-baik.  Beliau amat benci kepada pakaian yang kotor dan berbau busuk.  Dalam hal ini beliau amat menyerupai Imam Abu Hanifah.
Menyentuh kegemaran beliau memakai bau-bauan yang bagus.  Kerana bagi beliau nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t. perlu dipamerkan dalam kehidupan kita. Telah dikuatkan oleh satu pengakuan dari seorang muridnya yang tekemuka iaitu Imam Asyhab bin Abdul Aziz. Kata Imam Asyhab: “Imam Maliki suka memakai bau-bauan yang harum sama ada kasturi atau lainnya.  Suka memakai pakaian yang bersih, kemas serta bau-bauan yang harum selaras dengan tuntutan agama supaya menjadi orang yang pembersih.  Beliau pernah menegur mereka yang kaya tetapi memakai pakaian yang buruk dan koyak rabak serta sebagai kelihatan seperti orang miskin kerana bersifat kedekut.
Begitu juga apabila menghadiri majlis ilmu perlu memakai pakaian yang cantik dan bersih sebagai penghormatan kepada hadith Rasulullah s.a.w.  Sekiranya ada antara mereka yang mengadu tidak mampu membeli pakaian kerana miskin, Imam Maliki dengan murah hati menggunakan wangnya sendiri.
Salah seorang anak saudara Imam Maliki mengatakan beliau sangat suka makan daging.  Imam Maliki akan menjual apa saja barangannya untuk membeli daging.  Manakala buah-buahan pula yang paling beliau suka ialah pisang. (7)

Sahabat-sahabat Imam Malik
Imam Maliki telah memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan ilmu pengetahuan, khususnya Hadith dan Fiqh.  Beliau meninggalkan ramai murid yang meneruskan pengembangan ilmu pengetahuan.  Mereka yang pernah berguru dengan Imam Maliki dan murid beliau yang terkenal melebihi 1,300 orang.  Antara sahabat serta murid yang mengembangkan mazhab Maliki ialah Abdullah ibn Wahab Al-Misri serta lainnya. 

Beliau ialah Abu Abdillah, Abdul Rahman ibn AL-qasim, Al-Misri Ibn Al-Qasim yang telah mempelajari dan mendalami ilmu Fiqh serta Hadith daripada Imam Maliki hampir dua puluh tahun.  Lantaran itu beliau merupakan antara kalangan ulama yang paling pakar dalam menimba Fiqh mazhab Imam Maliki.  Seterusnya beliau juga banyak menimba ilmu daripada ulama lain lagi, seperti La-Laith ibn Sa’d di Mesir.  Justeru ada yang mengatakan beliau sampai ke darjat mujtahid mutlak.  Hal ini disokong oleh Yahya ibn Yahya yang merupakan Qadi Al-Andalus. (8)

Tidak mempunyai rumah sendiri
Imam Maliki tidak mempunyai rumah sendiri.  Bahkan beliau tinggal menyewa sehinggalah ke akhir hayat beliau.  Ini bukan kerana beliau tidak mampu berbuat demikian.  Ini kerana adalah hatinya menyedari bahawa hidupnya di dunia ini tidaklah lama. Bila-bila masa sahaja beliau boleh pergi meninggalkan rumahnya menghadap Ilahi.  Oleh itu soal rumah bukanlah suatu perkara yang perlu diutamakan.  Meskipun beliau tinggal di rumah sewa, namun beliau mengatur rumahnya dengan kemas dan rapi.  Rumah beliau juga ada kerusi sahaja kerana beliau tidak fanatik secara melulu.
Sejak membuka kelas pengajian ilmu hadith di Masjid Nabi, kehidupan Imam Maliki bertambah senang kerana ramai yang memberinya pelbagai hadiah termasuk wang dan barang-barang berharga.  Walaupun beliau tidak pernah meminta apa-apa bayaran, namun anak-anak muridnya memberi dengan ikhlas.  Wang itu digunakan dengan sebaik-baiknya dan beliau tidak perlu lagi membuat pekerjaan selain menumpukan perhatian pada kelas pengajiannya. (9)
Walaupun Imam Maliki tidak suka hidup bermewah-mewah namun beliau menjaga makan,minum serta keperluan pakaian diri dan keluarganya. 

Pencapaian Imam Maliki: Menjadi Guru
Imam Maliki dapat menguasai ilmu dengan cepat. Kecergasan yang demikian pada zaman kemajuan sains, teknologi dan computer ini diistilah sebagai ‘Otak Genius’ iaitu sejenis otak yang mempunyai kualiti kepintaran yang luar biasa dalam satu-satu bidang atau lapangan yang diceburi. Beliau adalah salah seorang yang termasuk ke dalam manusia genius. Ini terbukti apabila beliau telah mula membuka majlis pengajarannya ketika usianya baru menjangkau tujuh belas tahun.
Majlis pengajaran Imam Maliki bukan sahaja didatangi oleh pelajar-pelajar biasa tetapi juga oleh ulama’-ulama’ yang sudah bergelar ulama’ besar.
Setelah beliau membuka majlisnya, hanya beberapa tahun sahaja orang yang hadir ke majlis beliau lebih ramai daripada majlis Imam Nafi’, guru beliau. Tetapi Imam Nafi’ yang mempunyai hati yang suci, tidak cemburu atau dengki bahkan memuji Imam Maliki kerana keutamaan yang dimilikinya itu. (10)
Majlis pengajaran Imam Maliki adalah majlis yang hebat dan tenang. Selama lima puluh tahun Imam Maliki mengajar hadith. Di masjid majlis ini, beliau membuat secara umum dan boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja yang berminat.
Di dalam menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya, beliau mencontohi sikap Sayidina Umar Ibnul Khattab. Beliau hanya menjawab soalan yang berkaitan dengan perkara yang telah atau sedang berlaku sahaja. Adapun perkara atau soalan berbentuk andaian atau kemungkinan yang masih belum terjadi, beliau tidak mahu menjawabnya. (11)
Majlis Imam Maliki adalah sebuah majlis yang berwibawa dan penuh kelembutan. Beliau adalah seorang syeikh yang berwibawa dan mempunyai daya tarikan, tidak terdapat suara-suara sombong dan orang-orang bergaduh di majlisnya.

 Pencapaian Imam Maliki: Kitab Al-Muwatta
Kitab Al-Muwatta adalah sebuah kitab yang lengkap penyusunannya. Perkataan Al-Muwatta ialah jalan yang mudah yang disediakan untuk ibadat, ia adalah sebuah kitab yang paling besar sekali yang ditulis oleh Imam Maliki. Sebab yang mendorong kepada penyusunannya ialah disebabkan timbulnya pendapat-pendapat penduduk Iraq dan orang-orang yang tidak bertanggungjawab, dan disebabkan kelemahan ingatan dan riwayat, oleh kerana itu lebih nyatalah tuntutan kepada penyimpanan dan menyalinnya supaya ilmu-ilmu tidak hilang atau dilupakan. Kitab Al-Muwatta berisikan hadith-hadith dan pendapat para sahabat Rasulullah dan juga pendapat-pendapat tabi’en. 

Sebagaimana telah disebutkan, Abu Ja’far Al-Mansur adalah orang yang mendorong kepada penyusunan kitab Al-Muwatta karena beliau pernah berkata: Susunkan sebuah kitab untuk manusia, aku akan mengajarkan kepada mereka. Abu Al-Mansur telah mengulangi permintaannya. Beliau berkata: Susunkan kitab, tidak ada pada hari ini orang yang lebih alim dari engkau. Imam Maliki pun menyusun kitab “Al-Muwatta”. (12)

Imam Maliki menulis kitabnya dengan bermacam-macam bidang ilmu agama seperti ilmu hadith dan pendapat-pendapat penduduk Madinah. Beliau berusaha dengan tabah untuk mengarang kitab Al-Muwatta sehingga tahun 159 Hijriah. Diceritakan bahawa beliau berusaha dan memperbaharui serta mendalami untuk menyiapkan kitab Al-Muwatta selama empat puluh tahun.

Imam Maliki mengambil pendapat-pendapat yang disepakati, dan beliau mengkritik rawi-rawi dengan halus dan mendalam, beliau pernah berkata: Ilmu tidak harus diambil atau dipelajari dari empat orang dan harus dipelajari dari mereka yang lain dari itu. Orang bodoh, orang yang budi pekertinya tidak baik dan suka mengada-ada, suka membohongi atau mendustai, sekali pun ia tidak membuat fitnah terhadap hadith-hadith Rasullullah dan seorang guru yang baik dan mulia perangai dan beribadat tetapi ia tidak mengetahui kebenaran apa yang dipercayai kemudian ia mengajar kepada orang lain. (13)

 Harun Ar-Rasyid menganjurkan supaya beliau menggantungkan kitab Al-Muwatta di Kaabah kerana memuliakan dan menyatukan manusia, tetapi Imam Maliki tidak setuju dan berkata: Wahai Amirul-mukminin, menggantung kitab Al-Muwatta di Kaabah itu sahabat-sahabat Rasullullah berselisih tentang masalah fura’ dan mereka telah berpindah ke negeri-negeri yang jauh dan tiap-tiap seorang itu ada masalah tersendiri. 

Imam Maliki menguatkan pendapatnya dengan katanya bahawa perselisihan di antara fuqaha adalah rahmat, beliau berkata kepada Ar-Rasyid: Wahai Amirul-mukminin sesungguhnya perselisihan antara ulama itu adalah rahmat dari Allah SWT kepada umat ini. Tiap-tiap seorang hendaklah menuruti apa yang benar di sisi mereka dan semua mereka dapat petunjuk dan semuanya adalah atas kehendak Allah. 

Ketahuilah bahawa kitab Al-Muwatta bukanlah sebuah kitab hadith tetapi ia adalah sebuah kitab fiqih. Cita-cita Imam Maliki ialah untuk menerangkan kata sepakat orang Madinah atau dengan kata lain ilmu fiqih Madinah. Banyak disebutkan fatwa imam-imam dalam hukum yang ada, atau hukum-hukum tanggapan. Dihimpunkan di dalamnya dalil Sunnah dari Madinah dan juga disinggung masalah hukum fiqih berasaskan padanya kerana perbuatan atau muamalat orang-orang Madinah adalah mendapat penilaian yang baik di sisi Imam Maliki sebagaimana yang telah kita ketahui. 

Imam Maliki menjadikan kitab Al-Muwatta sebagai penjelasan terhadap hadith dari segi ilmiah dan menggunakan pendapatnya jika ia tidak menemui hadith-hadith. 

Dan tiap-tiap perkara yang disepakati merupakan perkara-perkara yang disetujui oleh ahli fiqih dan ilmu. Dan tiap-tiap perkataan yang beliau katakan: “Hukum ini mengikuti pendapat kami, maka ia adalah perkara yang dibuat oleh orang bersama-sama kami dan telah dijalankan mengikuti hukum ‘am dan khas, dan begitu juga apa yang ku katakan di negeri kami. Dan apa yang ku katakan setengah dari penduduknya maka ia adalah satu perkara yang kuperbaikinya dari pendapat para ulama.” 

Pendapat yang tidak kudapati dari mereka maka aku berijtihad dan aku selidiki pendapat mazhab yang aku temui sehingga semuanya menjadi benar atau hampir dengan hak. Sehingga tidak keluar dari mazhab ahli Madinah dan pendapat-pendapat mereka. 

Dan jika aku tidak pernah mendengar pendapat itu, aku kembalikan pendapat itu kepada jauhnya ijtihad dari As-Sunnah. Dan perkara-perkara yang telah diamalkan oleh ahli ilmu yang diikuti dan perkara-perkara yang dibuat di sisi kami sejak dari zaman hidup Rasullullah dan Imam-imam Ar-Rasyidin serta orang-orang yang aku temui mereka. Itulah pendapat mereka, aku tidak sekali-kali keluar kepada yang lain. 

Imam Syafie menyifatkan kitab Al-Muwatta: Tidak ada satu kitab pun di atas muka bumi ini yang lebih banyak kebenarannya dari kitab Al-Muwatta Imam Maliki. (14)

Imam Nawawi menceritakan pendapat yang tersebut di atas kemudian ia menambahkan kata-katanya: Ulama berkata, Imam Syafie berkata demikian sebelum ada kitab Sahih Bukhari dan Muslim dan kedua kitab ini lebih benar dari kitab Al-Muwatta menurut kesepakatan seluruh para ulama. (15)

Kitab Al-Muwatta mendapat perhatian serius dari segi hadith-hadith dan rawi-rawi mahupun penyusunnya sehingga bilangan mereka itu meningkat sembilan puluh orang. 

Pada suatu ketika dahulu, selepas solat Subuh Imam Yusuf membacakan kitab Mutawwa. Imam Syafie turut sama mendengarnya. Beliau tertarik dengan kandungan kitab itu. Lalu Imam Syafie bertanya, “Siapakah yang menulis kitab itu?” Lalu Imam Yusuf menjawab, “Kitab Mutawwa ini ditulis oleh Imam Malik. Beliau mengambil masa selama empat puluh tahun bagi menyusun kitab ini. Ia mengandungi hadith-hadith dan pendapat sahabat Rasullullah s.a.w dan juga pendapat tabi’en. Imam Malik menghafal sebanyak satu ratus ribu hadith. Kemudian beliau menyaring kesahihan hingga tinggal sepuluh ribu. Kemudian disaringkan lagi hingga tinggal lima ribu. Daripada lima ribu hadith itu disaringnya lagi lalu dimuatkan ke kitab Mutawwa yang benar-benar diyakininya daripada Nabi Muhammad SAW.”

Semenjak kitab Mutawwa dibacakan di Mssjidil Haram, nama Imam Maliki semakin dikenali. Ramai yang memuji kehebatan Imam Maliki. (16)

Imam Maliki dalam mengklasifiksi hadith-hadith yang terdapat dalam Al-Muwatta berdasarkan pada sistematika yang dipakai dalam kitab Fiqih, yaitu dengan klasifikasi hadith sesuai dengan hukum Fiqih. Menurut Fuad al-Baqi, kitab ini, terdiri dari dua juz, 61 bab, dan 1720 hadith. Kitab Al-Muwatta, mayoritas berisi tentang fiqih, ada pula tentang tauhid, akhlak, dan al-Quran dengan perincian seperti berikut:- (17)

       I.            600 buah hadith Musnad: Hadith yang mempunyai sanad sehingga kepada Rasullullah saw.
    II.            22 buah hadith Mursal: Hadith yang sanadnya sampai setakat sahabat sahaja.
 III.            613 buah hadith Mauquf: Perkataan-perkataan sahabat.
 IV.            285 buah perkataan-perkataan Tabi’en

Dikatakan Imam Maliki membina mazhabnya telah berpegang kepada lima dasar asas iaitu Al-Quran, Hadith atau Sunnah yang beliau pandang sahih, amalan ahli Madinah atau Ijma’ ulama’ Madinah, Qias dan Maslahah al-Mursalah. (18)

Peninggalan Imam Maliki yang terbesar adalah kitab Al-Muwatta yang menjadi bahan rujukan kepada seluruh umat Islam sehingga sekarang. Mazhab Maliki berkembang di Morocco, Algeria, Libya dan Palestin.

Nasihat Imam Maliki

Ilmu itu adalah agama. Oleh itu hendaklah kamu perhatikan daripada siapa kamu pelajari ilmu itu. Ilmu itu cahaya. Ia tidak akan jinak kecuali hanya kepada hati yang takwa dan khusyuk. Apabila seseorang itu Zahid (tidak tamak pada dunia), Allah akan memberi nikmat kepadanya. Sebaik-baik perkara adalah yang jelas dan nyata. Sekiranya kamu syak antara dua perkara, maka ambillah yang lebih menyakinkan. Siapa mahu menjawab sesuatu masalah dia perlu bentangkan dahulu dirinya ke dalam syurga dan neraka dan berusaha bagaimana dia akan selamat di akhirat. Perumpamaan orang munafik itu ketika berada dalam masjid adalah seperti burung yang berada di dalam sangkar. Apabila pintu sangkar itu terbuka mereka berebut-rebut keluar. Menurut apa yang diketahui bahawa ulama’ akan ditanya di akhirat seperti ditanya para nabi. Apabila seseorang itu memuji dirinya maka hilanglah kebijaksanaannya. (19)


KESIMPULAN

Imam Maliki merupakan seorang imam yang haus akan ilmu. Semua terbukti bahawa beliau tidak main-main dalam menuntut ilmu beliau hanya akan mencari ilmu kepada orang-orang yang benar-benar memahami ilmu tersebut.

Imam Maliki sudah berhasil memberikan fatwa pada usianya yang masih muda yaitu pada usia tujuh belas tahun, pada waktu itu disebabkan beliau merupakan seseorang yang banyak memiliki ilmu terlebih dalam hadith. Selain itu, beliau juga merupakan orang yang kuat ingatannya selain itu juga imam-imam yang lain juga mengakuinya.

Kitab Al-Muwatta adalah merupakan salah satu karya paling monumental yang dikarang olehnya. Selanjutnya kitab ini merupakan kitab hadith yang bersistematika Fiqh.

Selain daripada itu Imam Maliki merupakan seorang yang digeruni kerana kewibawaannya.  Selain daripada sifatnya yang tegas dan tawadduk beliau juga sangat disegani oleh Imam Syafie.  Hartawan dan sangat merendah diri walaupun suka kepada barangan mewah.

Imam Maliki sangat berhati-hati dalam membuat sesuatu fatwa dan mengambil kira Al-Quran dan As-Sunnah sebagai hukum. 

Sebagai seorang pemuda Islam seharusnya kita harus meniru semangat beliau dalam menuntut ilmu, yang selalu haus akan ilmu dan tak pernah merasa lelah dalam mencari ilmu.











RUJUKAN

1)      Riwayat Hidup 4 Imam Mazhab dari Tarikuddin Bin Haji Hassan
2)      https://kabarislamia.com/2012/02/11/mengenal-imam-hanafi-imam-malik-imam-syafii-dan-imam-hambali/
3)      http://ifulan.blogspot.sg/2015/06/terjemahan-kitab-al-muwatha.html
4)      http://al-hibrun.blogspot.sg/2016/04/analisis-kitab-al-muwaththa-imam-malik.html
5)      Sejarah Perundangan Islam dari Prof Dr Ahmad Shalaby
6)      Buku Abdurrahman al-Jaziriy, Fiqh Madzahib al-‘Arba’
7)      http://habyb-mudzakir-08.blogspot.sg/2013/10/makalah-biografi-imam-malik.html
8)      Perbahasan Sejarah Perundangan Islam dan Mazhab dari Ustaz Abdul Latif Muda (M.A. UM, A.S.O.L. AL al-Bayt, JORDAN)
9)      Imam Maliki Pengarang Kebenaran dari Abdul Latip Talib
10)  Imam-imam Yang Benar: Kisah 4 Imam Mahzab dari novel sejarah Islam, Abdul Latip Talib                                           




No comments:

Post a Comment